jppk 2023logo pislmn rasmi2020 sirim v3

Sambutan Jubli Perak 25 tahun Politeknik Ibrahim Sultan

Sambutan Jubli Perak 25 tahun Politeknik Ibrahim Sultan adalah sangat bertepatan dengan kejayaan dan pencapaian cemerlang yang berjaya diraih oleh warga PIS. Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, YBrs. Dr. Haji Mohd Zahari Ismail telah menyempurnakan sambutan Jubli Perak 25 tahun Politeknik Ibrahim Sultan dan telah melancarkan logo rasmi 25 tahun PIS. Dalam ucapan beliau “25 tahun ini menjadi penanda aras untuk kejayaan-kejayaan yang lebih gemilang pada masa hadapan". Pelbagai aktiviti berimpak telah dirangka bagi menyemarakkan lagi sambutan Jubli Perak 25 Tahun Politeknik Ibrahim Sultan.
Langkah PIS menuju 25 tahun pengoperasiannya bukanlah satu proses yang singkat. Maka, wajar kejayaan ini diraikan sebagai pengiktirafan atas segala usaha dicurahkan. Malah, PIS berjaya mengekalkan kebolehpasaran graduan melebihi 90% sejak tahun 2020. Pada tahun 2022, PIS telah mencapai peratus kebolehpasaran graduan sebanyak 98% dan baru-baru ini telah menerima Anugerah Kebolehpasaran Graduan Terbaik dan Anugerah POLYCC Cemerlang (Kategori : Politeknik Premier & APACC) di Majlis Aspirasi Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti 2023.
Pada usia PIS mencapai Jubli Perak 25 tahun, kecemerlangan diteruskan lagi dengan kejayaan pasukan Abilympics PIS ke pertandingan 10th International Abilympics France 2023 di METZ, FRANCE pada 19-28 Mac 2023 ini. Pelajar OKU PIS di Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual, iaitu saudara Muhammad Darwisy Haziq Mohd Zam dalam bidang Fotografi Outdoor dan Nur Amiratul Farahin Ab Rahman dalam bidang Painting and Waste Art akan mewakili Malaysia bersaing dalam bidang kemahiran yang disertai 55 negara. Manakala dua orang pelajar Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual juga iaitu saudara Muhammad Rizqin Husnan bin Junan dan Celeft Ng akan bersaing bagi kategori bidang Graphic Design Technology dalam pertandingan 13th Worldskills ASEAN Singapore 2023 di Singapura pada bulan Julai akan datang.
Seterusnya, saudara Umar Osman, pelajar PIS akan mewakili Malaysia dalam SEA Games 2023. Beliau telah mendapat pingat emas dan memecahkan rekod bagi acara 800 m dan 400 m lelaki dalam Kejohanan Varsity Track & Field (VTF 1) baru-baru ini. Bagi sukan kayak, 11 atlet PIS dan seorang pegawai akan mewakili negara juga ke SUKAN SEA Games 2023.
Jamuan Hi-Tea telah disediakan oleh Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti (JPH) yang diketuai oleh Cik Hajah Humairah Hamzah, Ketua Jabatan bersama pensyarah-pensyarah dan pelajar ijazah di JPH.
jbp1
jbp2
jbp3
jbp4
jbp5