Page 34 - E-book MPU23082 Seni Dalam Islam
P. 34
3.0 SENI MUZIK
( SUARA, LAGU DAN BUNYI )
Ummul Hafizah Ali
3.1 PENGENALAN
Al Syeikh Yusuf al Qardhawi dalam kitabnya “ Halal dan Haram” menyebut bahawa hiburan yang
dapat menghiburkan jiwa dan menenangkan hati serta menyedapkan telinga ialah nyanyian.
Hiburan nyanyian ini diharuskan oleh Islam selagi tidak melalaikan dan membawa kepada
kemaksiatan. Hiburan nyanyian ini disunatkan dalam suasana gembira untuk melahirkan
perasaan riang dan menghiburkan hati seperti pada hari raya, meraikan kehadiran tetamu, ketika
majlis perkahwinan, aqiqah dan ketika lahirnya seorang bayi.
Diriwayatkan daripada Aisyah RA yang bermaksud :
Suatu hari Abu Bakar RA datang melawatnya pada hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, dan Nabi
Muhammad SAW ada bersamanya pada hari itu. Bersama Aisyah juga ada dua orang penyanyi
wanita yang sedang menyanyikan lagu kaum Ansar tentang hari Bu’ath. Maka Abu Bakar pun
berkata “seruling syaitan” sebanyak dua kali. Maka Nabi SAW pun berkata “biarkan mereka
berdua wahai Abu Bakar, sesungguhnya bagi setiap kaum ada hari perayaan, dan hari ini
merupakan hari raya bagi kita.”
( Riwayat Bukhari dan Muslim )
Berdasarkan hadis ini, jelas bahawa Rasulullah SAW tidak melarang nyanyian ketika perayaan
atau suasana gembira bagi meraikan bersama. Hal ini jelas bahawa nyanyian itu tidaklah ditolak
secara mutlak oleh Rasulullah SAW tetapi terdapat syarat-syarat tertentu yang menyebabkan
nyanyian tersebut diharamkan.
33