Page 36 - E-book MPU23082 Seni Dalam Islam
P. 36
3. 2 PRINSIP HALAL DAN HARAM DALAM ISLAM
Prinsip-prinsip Islam berkenaan halal dan haram daripada karya Dr Yusuf al-Qaradhawi, antara
lain beliau menyebut:
1. Hukum asal sesuatu ialah harus (dibolehkan).
2. Kuasa halal dan haram adalah hak Allah SWT semata-mata.
3. Mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haram, sama dengan syirik kepada Allah
SWT.
4. Pengharaman itu adalah disebabkan oleh kotor dan mudarat.
5. Dengan perkara halal, seseorang tidak perlu lagi kepada yang haram.
6. Apa yang membawa kepada perkara yang haram, hukumnya haram.
7. Haram membuat tipu helah untuk perkara yang haram.
8. Niat yang baik tidak boleh menghalalkan yang haram.
9. Memelihara diri dari perkara yang syubhah, iaitu yang samar-samar.
10. Sesuatu yang haram itu tetap haram untuk semua.
11. Darurat mengharuskan sesuatu yang dilarang. (Rujuk Halal dan Haram dalam Islam, hal. 5-
38)
Nu’man bin Basyir RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya perkara halal dan haram itu jelas, dan terdapat perkara yang samar-samar
(syubhah) antara keduanya, yang tidak diketahui oleh sekian ramai manusia. Barangsiapa yang
memelihara dirinya daripada perkara yang syubhah, dia telah menjaga agama dan
kehormatannya. Sesiapa yang termasuk dalam perkara syubhah, dia telah jatuh dalam perkara
haram, seumpama pengembala yang mengembala binatang peliharaannya di sekitar kawasan
larangan, lama-kelamaan akan jatuh ke dalamnya.
Sahih Muslim (1599)
Hadith ini menjelaskan bahawa ruang lingkup perkara yang halal adalah sangat luas. Bahkan, ia
lebih luas daripada perkara yang haram. Hal ini dapat difahami daripada perumpamaan
Rasulullah SAW yang membandingkan perkara haram seumpama kawasan larangan. Oleh itu,
selain kawasan larangan tersebut ialah kawasan halal. Demikianlah betapa besar dan luasnya
ruang lingkup perkara halal berbanding perkara haram.
35