Page 38 - E-book MPU23082 Seni Dalam Islam
P. 38
Pandangan ketiga adalah lebih sesuai digunapakai oleh masyarakat di Malaysia iaitu nyanyian
diharuskan sama ada menggunakan atau tidak menggunakan alat muzik dengan syarat tidak
mengandungi perkara mungkar (menyalahi syariat Islam seperti mensyirikkan Allah dan maksiat)
serta lirik yang tidak elok (mencaci, mencarut, menghina dan kata-kata lucah). Sebagaimana
firman Allah yang bermaksud :
Dan di antara manusia (ada) orang yang mempergunakan perkataan yang tidak berguna untuk
menyesatkan (manusia) dari jalan Allah tanpa pengetahuan dan menjadikan jalan Allah itu olok-
olokan. Mereka itu akan memperoleh azab yang menghinakan.
Surah Luqman (6)
Jadi barangsiapa mendengar nyanyian dengan niat untuk bermaksiat kepada Allah SWT, maka
jelas dia adalah fasiq dan ini termasuk semua perkara selain nyanyian. Begitu juga barangsiapa
berniat untuk menghiburkan hati supaya dia mampu berbakti kepada Allah SWT dan lebih
bersemangat dalam berbuat kebajikan, maka dia adalah orang yang taat dan berbuat baik dan
perbuatannya pun termasuk perbuatan yang benar. Dan barangsiapa tidak berniat untuk taat
kepada Allah dan tidak juga untuk bermaksiat, maka perbuatannya itu dianggap
nyanyian/hiburan sahaja yang diharuskan.
3.3.1 Peralatan Muzik Dalam Islam
Adapun pandangan para ulama yang mengharamkan sebahagian alat muzik adalah kerana alat
muzik itu dimainkan untuk menggalakkan aktiviti maksiat dan bukan kerana sifatnya sebagai alat
muzik semata-mata. Hal ini bermaksud, penggunaan alat muzik itu tidak salah tetapi pendekatan
seseorang dalam menggunakan alat muzik itu yang menyebabkan nyanyian atau alat muzik itu
diharamkan seperti terdapat unsur maksiat, keganasan, mungkar, syirik dan sebagainya.
Sebagaimana Imam al-Ghazali mengharamkan hanya dua alat muzik yang menjadi syi’ar kepada
peminum arak, iaitu al-awtar (sejenis alat muzik bertali) dan al-mizmar (sejenis seruling), maka
ianya haram. Selain alat muzik tersebut, seperti duff (gendang), meskipun ia mempunyai loceng,
ia dibenarkan. Dapat difahami bahawa Imam al-Ghazali mengharamkan alat muzik tertentu
kerana ia berkait rapat dengan aktiviti maksiat, bukan kerana zatnya sebagai alat muzik.
37