Politeknik Ibrahim Sultan telah menganjurkan program yang julung kalinya berkonsepkan "Seni Untuk Masyarakat"

Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual, Politeknik Ibrahim Sultan telah menganjurkan program yang julung kalinya berkonsepkan "Seni Untuk Masyarakat" dimana pelaksanaannya menjurus kepada membudayakan seni kreatif di daerah pedalaman bersama masyarakat setempat. Pengisian program ini mengetengahkan perkongsian ilmu, jaringan rakan kolaborasi dan khidmat sukarelawan ke arah menyumbang serta menyuntik nilai tambah kelestarian sedia ada komuniti di sekitar negeri Johor. Majlis perasmian penutup telah dirasmikan oleh YB Hajah Hasrunizah bt Hassan, ADUN Pulai Sebatang. Turut hadir Ts. Noor Aidi bt Nadzri, Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan dan Encik Fakhrul Zaman bin Mohd Sambas, Pengasas Hujung Tanah Art Residency.

Program ini merupakan pelaksanaan aktiviti yang berkonsepkan Residensi Seni iaitu konsep kediaman yang menjalankan kegiatan seni seperti seni rupa, seni arca, seni reka, kraftangan dan seni budaya oleh penggiat seni khasnya ke arah usaha inovasi melahirkan ‘Kampung Seni’. Inisiatif yang dilakukan ini juga bertujuan memberi suntikan anjakan paradigma kepada komuniti khususnya belia-belia dalam melahirkan individu penggiat seni budaya untuk menaikkan dan mempromosikan seni sehingga ke peringkat antarabangsa.

Program ini turut mendapat kerjasama Hujung Tanah Art Residency, Creative Design Centre (CDEC) dan Corporate, Industry Services and Employability Center (CISEC), Politeknik Ibrahim Sultan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Rainbow Art and Stationary, Galeri Seni Pontian, Persatuan Pelancongan Warisan Pontian, Cawangan Tunas Baharu Kampong Parit Haji Alias serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampong Kawasan 6 (JPKK).

seni masyarakat1  seni masyarakat2