Sijil Kemahiran Hotel dan Katering

Program Sijil Kemahiran Hotel dan Katering menawarkan peluang kepada pelajar khas kurang upaya pendengaran untuk memulakan kerjaya dalam bidang hotel dan katering. Ia bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja separa professional yang berkualiti selaras dengan misi politeknik bagi menampung keperluan sektor awam dan swasta di Malaysia. Pelajar dibekalkan dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran seperti penyediaan makanan, penyajian makanan dan minuman, pengemasan bilik, mendobi, bakeri dan pastri, pengiraan kos makanan dan operasi restoran. Bagi melahirkan pelajar yang berdikari dan berdaya saing, pelajar juga turut dibekalkan dengan ilmu keusahawanan. Pelajar diberi pendedahan tentang alam pekerjaan melalui latihan industri sebagai persediaan untuk menghadapi alam pekerjaan sebenar. Pelajar diwajibkan menjalani latihan industri di firma-firma berkaitan dengan bidang hotel dan katering selama 6 bulan.

Tempoh Pengajian : 4 Semester


Prospek Kerjaya

Program ini melengkapkan pelajar dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan dalam bidang Hotel dan Katering. Dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi oleh pelajar melalui program ini, membolehkan pelajar menceburi bidang pekerjaan seperti:

  • Atendan Pendobian
  • Atendan Bilik
  • Atendan Kawasan Awam
  • Pembantu Penggubah Bunga (Florist Assistant)
  • Atendan Linen
  • Pengusaha Katering
  • Pengusaha Inap Desa (Home Stay)
  • Pengusaha Produk Bakeri
  • Pembantu Pramusaji
  • Pembantu Dapur (Commis)
  • Penyedia Makanan
  • Pembantu Penyedia Roti dan Pastri

Syarat Kemasukan

Pelajar berkeperluan khas (ketidakupayaan pendengaran)

  1. Warganegara Malaysia
  2. Calon merupakan pelajar berkeperluan khas (ketidakupayaan pendengaran)
  3. Tamat Tingkatan 5 dari Sekolah Pendidikan Khas kelolaan Jabatan Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia atau Program Pencantuman Pendidikan Khas di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia

 

Maklumat Lanjut :  Program Sijil Kemahiran Hotel dan Katering
Sumber : Portal Pengambilan Pelajar Politeknik