Perutusan Pengarah

 

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera ....

Pertama-tamanya saya ingin mengucapkan syukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah dan kurnia-NYA jua Portal Rasmi Politeknik Ibrahim Sultan ini berjaya dibangunkan. Tahniah dan terima kasih kepada Unit ICT Politeknik Ibrahim Sultan khasnya kepada kumpulan webmaster kerana dapat menghasilkan portal rasmi ini.

Antara lain tujuan diadakan portal rasmi ini adalah untuk menjadi salah satu input kepada perlaksanaan MS ISO 9001:2015 dan sejajar dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia. Saya mengharapkan portal ini dapat menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Teknologi Informasi Komunikasi (ICT) di Politeknik Ibrahim Sultan khususnya.

Untuk pengetahuan anda Politeknik Ibrahim Sultan yang dahulunya dikenali dengan nama Politeknik Johor Bahru mula dirancang di dalam Rancangan Malaysia ke-7 dengan kerjasama Kerajaan Malaysia dan Bank Dunia. PJB memulakan operasi pada Februari 1998 dengan menumpang di SMT Johor Bahru sementara menunggu kampus tetapnya. Pada Julai 1998, PJB mula beroperasi di tapak sebenar seluas 100 ekar di Mukim Plentong, daerah Johor Bahru, dengan kos projek bernilai RM 155.52 juta. Bermula tanggal 11 Disember 2011 politeknik ini secara rasminya menggunakan nama Politeknik Ibrahim Sultan (PIS).

PIS menawarkan program pengajian peringkat Sijil (kemahiran Khas), Diploma serta pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda. Program Sijil Kemahiran Khas mengambil masa 2 tahun (4 semester). Program pengajian peringkat Diploma pula mengambil masa 3 tahun (6 semester).

Setiap pelajar diwajibkan menjalani Latihan Industri pada semester 3 (kursus sijil) dan pada semester 4 (kursus diploma). Tujuan latihan industri ini ialah untuk memberi pendedahan sekitaran kerja sebenar disamping meningkatkan keyakinan diri dan menanam semangat kerja berpasukan.

Bagi program pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda di PIS, ia mengambil masa selama 3 + 1 tahun (8 semester). 3 tahun pengajian di dalam kampus manakala setahun di industri (Work Base Learning – WBL).

PIS membawa visi Menjadi Peneraju TVET Yang Unggul dengan matlamat menyediakan program pendidikan dan latihan yang sempurna untuk melahirkan lulusan yang berilmu dan berkemahiran luas serta mempunyai nilai etika dan moral yang tinggi. Menyediakan program dan aktiviti ko-kurikulum yang menyeluruh untuk membina akhlak, perwatakan dan potensi pelajar serta memupuk dan mengekalkan perhubungan rapat dengan industri melalui perundingan, lawatan serta program kerjasama antara politeknik dan industri. Memberi perkhidmatan cemerlang kepada klien luar dan dalam politeknik dengan memberi layanan yang mesra dan segera sentiasa prihatin terhadap keperluan mereka. Diharapkan anda akan mendapat manfaat dari portal rasmi ini.

Sekian. Wassaalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.



Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan